Barang kemas RM500,000 lesap, 3 penjenayah tembak polis

9 saman syarikat pelaburan emas
December 20, 2012
2012 ended with gold prices up for 12th-straight year, more hike seen in 2013
January 1, 2013
Show all

Barang kemas RM500,000 lesap, 3 penjenayah tembak polis

PARIT BUNTAR – Tindakan nekad empat anggota polis cuba menahan sekumpulan perompak sebuah kedai emas daripada melarikan diri hampir berakhir tragedi apabila kenderaan mereka ditembak dalam kejadian rompakan bersenjata di Pekan Baru, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, dua penjenayah bertopeng memasuki kedai emas terbabit melalui pintu hadapan dan mengarahkan tiga pelanggan di dalamnya beredar dari situ.

Menurutnya, sejurus pelanggan beredar, salah seorang suspek mengacukan senjata kepada salah seorang pekerja premis itu, manakala seorang lagi suspek memecahkan kaca meja pameran barang kemas menggunakan penukul.

“Setelah dipecahkan, suspek bertindak mengaut kesemua barang kemas terbabit ke dalam guni, manakala rakan suspek mengarahkan lima pekerja kedai itu duduk melutut.

“Mereka hanya mengambil tempoh 10 minit untuk merompak premis berkenaan sebelum melarikan diri dengan bantuan seorang lagi suspek yang menunggu di dalam sebuah kenderaan tidak dikenal pasti di hadapan premis itu,” katanya sewaktu ditemui media selepas melawat lokasi kejadian tengah hari semalam.

Kejadian itu menyebabkan pemilik kedai emas tersebut menanggung kerugian kira-kira RM500,000.

Tayar pancit terkena tembakan

Mat Fauzi berkata, sewaktu kesemua suspek berkenaan hendak memasuki kenderaan, mereka terlihat sebuah kereta peronda polis yang sedang menuju ke lokasi kejadian untuk menahan mereka.

Menurutnya, salah seorang suspek bertindak menembak ke arah kereta polis terbabit sebelum polis bertindak mengejar kenderaan suspek.

“Namun, usaha mengejar kenderaan suspek tidak dapat diteruskan disebabkan tayar kenderaan kereta peronda ini pancit akibat terkena serpihan tembakan senapang jenis ‘pump gun’ suspek.

“Suspek dipercayai melarikan diri ke kawasan utara dan pihak kami sudah memohon bantuan Ibu Pejabat Polis Daerah( IPD) berdekatan daerah Kerian untuk membantu siasatan,” katanya.

Usaha buru suspek bermula

Mat Fauzi berkata, berdasarkan maklumat saksi, kesemua suspek berkenaan dipercayai berbangsa Melayu dan berusia lingkungan 30-an.

“Polis Kerian sudah meningkatkan tahap keselamatan di seluruh daerah ini termasuk mengadakan sekatan jalan raya di setiap jalan utama bagi memastikan suspek tertangkap.

Sementara itu, seorang peniaga, Ismail Abdullah, 62, ketika ditemui mengesahkan ada mendengar bunyi tembakan di luar kedainya dan terkejut apabila mendapati seorang pelanggan memasuki premisnya secara tergesa-gesa.

http://www.sinarharian.com.my/semasa/barang-kemas-rm500-000-lesap-3-penjenayah-tembak-polis-1.115992