KOTA BHARU – Tiga lelaki bersenjatakan parang dan kapak mengambil masa kira-kira lima minit untuk menyamun sebuah kedai emas di Jalan Temenggong di sini petang kelmarin sebelum melarikan pelbagai barangan kemas bernilai kira-kira RM200,000.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman memberitahu, ketika kejadian pada pukul 4.45 petang itu, tiada pelanggan di premis terbabit dan hanya lima pekerja berada di dalamnya.
Menurutnya, tiga penjenayah tersebut yang memakai jaket hitam dan bertopi keledar memasuki premis berkenaan, lalu bertindak memecahkan cermin pameran yang menempatkan pelbagai barang kemas.
Katanya, selepas berjaya menyamun barang kemas di premis berkenaan, suspek kemudian meninggalkan senjata yang digunakan di tempat kejadian.
“Mereka melarikan diri menggunakan motosikal yang ditinggalkan di bahagian belakang premis berkenaan.
“Bagaimanapun, kegiatan jenayah ketiga-tiga suspek berjaya dirakam oleh televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kedai berhampiran dan pihak polis kini menjalankan siasatan untuk mengenal pasti suspek,” katanya di sini semalam.