SHAH ALAM – Polis menahan tujuh lelaki termasuk dua pelebur emas bagi membantu siasatan kes samun terhadap ahli perniagaan barang kemas bersama dua anaknya di hadapan sebuah rumah di Kota Kemuning di sini pada 27 September lalu.
Kesemua suspek ditahan di Shah Alam dan Seremban antara 3 Oktober sehingga 12 Oktober lalu dan ditahan reman sehingga Ahad ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian samun itu kira-kira pukul 3 petang pada 27 September lalu.
Menurut beliau, dalam laporan tersebut, tiga lelaki iaitu seorang bapa bersama dua anaknya mendakwa mereka dihampiri oleh sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna coklat ketika berada di luar rumah pelanggan mereka di Kota Kemuning.
“Mangsa turut diacu parang dan kehilangan barang kemas termasuk gelang, rantai, cincin dan lain-lain seberat lima kilogram (kg) yang bernilai RM700,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini semalam.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm