HONG KONG – Pihak polis sedang memburu satu kumpulan yang didapati menggunakan seorang budak perempuan berusia 12 tahun untuk mencuri seutas rantai berlian bernilai AS$4.6 juta (RM16.57 juta) di sebuah kedai emas di sini.
Kumpulan itu yang dianggotai dua wanita dan seorang lelaki bersama kanak-kanak berkenaan dilaporkan masuk ke sebuah kedai emas di sebuah kawasan beli-belah di Tsim Sha di sini pada Jumaat lalu.
Tiga suspek tersebut kemudian mengalihkan perhatian pekerja kedai emas berkenaan dengan berpura-pura mahu membeli beberapa barangan kemas sebelum kanak-kanak itu mencuri kunci dan mengambil satu rantai berlian yang dipamerkan.
Seorang jurucakap polis berkata, kanak-kanak perempuan tersebut mengambil satu kunci di dalam laci dan membuka satu kabinet kaca sebelum memasukkan seutas rantai berlian ke dalam poketnya.
Katanya, ketiga-tiga suspek berpakaian seperti orang kaya dan kegiatan jenayah itu dilihat sangat terancang.
“Rakaman kamera keselamatan menunjukkan kanak-kanak itu dengan tenang keluar dari premis berkenaan sebelum diikuti oleh ketiga-tiga suspek dewasa.
“Pekerja kedai emas itu hanya menyedari rantai berkenaan hilang kira-kira dua jam selepas kumpulan tersebut beredar,” katanya. – Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3Q4pCyDva
Hakcipta terpelihara