Dec 2008
Kosmo
PADA penghujung tahun, biasanya banyak majlis keraian serta ulang tahun diadakan termasuk majlis-majlis perkahwinan. Ramai memilih untuk menghadiahkan set barang kemas sebagai tanda kasih dan penghargaan.
Bagi yang bakal mendirikan rumah tangga, set barang kemas bukan sahaja penyeri dulang hantaran yang indah dan berharga tetapi merupakan bingkisan yang menjadi idaman setiap wanita.
Elemen Fesyen minggu ini mengajak anda memahami secara terperinci mengapa anda harus memberi atau menerima barang kemas sebagai hadiah tahun ini dan memulakan tahun 2008 dengan ‘nilai’ yang lebih tinggi.
Membeli perhiasan diri atau lebih tepat barang kemas adalah satu pelaburan yang bijak kerana ia bukan sahaja menambah seri penampilan seseorang, tetapi dari sehari ke sehari, nilainya bertambah.
Ini sesuatu yang perlu difikirkan oleh setiap wanita. Seorang teman yang membeli seutas rantai emas 916 bernilai RM700 pada 15 tahun lalu mendapati hari ini, rantainya itu sudah mencecah lebih RM2,000.
“Kalau saya tahu, saya tidak beli baju dan beg tangan mahal-mahal tetapi sebaliknya membeli barang kemas.” Mungkin ramai yang akan berkata begitu.
Gemerlapan barang kemas yang dipakai merupakan satu sensasi yang mewujudkan gaya tersendiri dan personaliti si pemakai.
Dengan pelbagai rekaan untuk dipilih, koleksi yang terdapat di pasaran hari ini amat mementingkan cita rasa dan keperibadian wanita yang semakin canggih dan kompleks.
Keprihatinan tukang-tukang emas ini telah menghasilkan generasi barang kemas yang amat ketara mutu dan gayanya sesuai untuk wanita tertentu.
Hari ini, rekaan dan gaya barang kemas dihasilkan begitu sempurna dengan gabungan motif kontemporari dan tradisional sekali gus memberikan nafas baru kepada industri barang kemas.
Dalam pada itu, ia memberikan pilihan yang lebih meluas bagi wanita untuk bertukar-tukar gaya pada setiap hari mengikut keperluan majlis dan suasana.
Sempena menyambut pelbagai festival sebelum menutup tirai tahun 2007, jualan akhir tahun merupakan satu tumpuan bagi kebanyakan kedai barang kemas untuk memberi tawaran lumayan sekali gus memberi peluang menguntungkan kepada pelanggan.
Habib Jewels contohnya, di kesemua 15 bilik pamerannya di seluruh Malaysia mengadakan jualan secara besar-besaran. Selain daripada tawaran harga yang hebat, mereka memastikan koleksi akhir tahun kali ini memberikan sesuatu yang lebih istimewa untuk pelanggan.
Selain emas 916, emas tulen dan emas 24 karat serta berlian, kini menjadi trend perhiasan barang kemas ialah batu permata berwarna-warni yang diikat dengan gaya moden dan rekaan yang eksklusif.
Batu permata berwarna cair adalah trend hari ini. Datang dalam warna-warna menawan, jernih dan diikat emas, ia menjadi salah satu faktor yang menampilkan gaya perhiasan diri yang tersendiri dan menawan pada diri seseorang wanita yang memakainya.
Lebin menarik, apabila terdapat campuran jenis emas yang digunakan, misalnya emas putih dan kuning atau campuran emas mawar.
Contohnya, Habib yang mula memperkenalkan batu permata zamrud, delima dan safir biru sedikit masa dulu, kini memberikan pilihan yang lebih meluas untuk wanita yang sentiasa dahagakan kelainan dan kesegaran gaya dengan pelbagai variasi barang kemas berbatu permata.
Antaranya ialah batu akuamarin (biru cair), kunzite (merah jambu cair), quarts (hijau jernih, merah jambu dan kuning) dan pelbagai lagi yang dahulunya jarang kedengaran tetapi kini telah mula menghiasi jari, tangan, dada, telinga dan leher pelanggannya.
Menurut jurucakap Habib, Yasheedah Yashaiya, koleksi jualan akhir tahun kali ini membuktikan Habib menepati janjinya untuk mewujudkan barang kemas berkualiti antarabangsa dengan reka bentuk moden dan pada kelasnya yang tersendiri.
Sebagai contoh, pelanggan kini boleh memiliki cincin berlian dengan reka bentuk moden dan trendy pada harga yang berpatutan.
“Ini bukan janji tetapi satu kenyataan. Kini, tiada sebab atau alasan mengapa bakal pengantin tidak mampu untuk memeterai mercu tanda kasih dan cinta mereka dengan berlian,” tambahnya.
Dengan memberikan lebih penumpuan kepada rekaan moden yang abstrak, rantai tangan Habib sesuai untuk pakaian kontemporari mahupun tradisional.
“Habib sekali lagi telah dianugerahkan dengan Anugerah Gold Trusted Brand untuk kategori kedai emas yang dipercayai oleh Reader’s Digest Trusted Brand Awards 2007.
“Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut Habib memenangi anugerah tersebut. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga telah menganugerahkan Habib sebagai penerima Anugerah Kedai Harga Patut baru-baru ini.
“Sementara Malaysian Retail Association memberi anugerah Service, Corteous and Excellence Award,” ujar Yasheeda bangga dengan perkhidmatan yang mereka berikan.
*Memilih perhiasan emas
Mungkin anda tertanya-tanya mengapa lebih bijak sekiranya anda melabur emas sebagai perhiasan diri atau sebagai hadiah?
Semua tahu bahawa emas merupakan lambang kepada wira sukan dan emas tulen juga telah menjadi asas terbinanya sebuah negara oleh peneroka zaman dahulu kala.
Begitupun dalam barang kemas, penggunaannya banyak dalam bentuk campuran 916 atau 14 karat. Untuk pengetahuan anda, 14 karat bererti 14 bahagian emas dan 20 bahagian lagi campuran logam lain.
Sementara 14 karat merupakan jenis emas yang biasa terdapat di dalam perhiasan barang kemas, terdapat juga jenis daripada 10 karat hingga ke 999 yang hampir seratus peratus tulen tetapi jenis ini lembut dan tidak digunakan untuk perhiasan berpermata kerana ia boleh berubah bentuk dan tidak mengikat kukuh batu permata.
Kebanyakan barang kemas hari ini, terutama di negara Barat, disadur emas. Begitupun rupanya hampir sama yang tulen, tetapi terdapat perbezaan yang besar antara keduanya, dari segi harga dan kekuatannya.
Secara teknikalnya, barang kemas yang disadur bermakna ia disadur sekurang-kurangnya satu lapisan emas 10 karat pada logam asas.
Penyaduran juga mungkin mengandungi lebih nilai emas dengan penggunaan emas 14 karat atau karat yang lebih dan inilah yang membezakan nilai sesuatu perhiasan.
Begitupun tebal dan lebihnya karat yang digunakan, perhiasan bersadur akhirnya menghakis. Ia akan menjadi kusam, mengikut cara pemakaian dan setebal mana ia disadur.
Begitupun, sekiranya anda membeli sebentuk cincin untuk perkahwinan atau pertunangan, adalah lebih baik sekiranya anda pastikan cincin tersebut diperbuat daripada emas tulen kerana ia akan kekal lebih lama dan tentu sekali anda tidak mahu melihat cincin tunang atau perkahwinan yang menjadi lambang cinta serta kesetiaan anda itu pudar.
*Petua membeli
Minta jurujual menulis maklumat tentang perhiasan yang ingin dibeli. Kadangkala terdapat maklumat yang tidak bertulis, sedangkan anda patut tahu. Jadi, anda boleh bertanya dan minta ia dicatatkan di dalam resit.
-Sebelum membuat keputusan membeli, tanyakan juga tentang polisi penggantian atau memulangkan semula. Ini penting sekiranya terjadi sesuatu.
-Bercadang membuat tempahan melalui tempahan online? Pastikan, anda menyimpan salinan muka surat web tersebut dan resitnya, termasuk pesanan e-melnya sekali.
-Apa juga maklumat tentang transaksi termasuk harga, maklumat pulang semula dan polisi ganti balik yang boleh membantu anda kemudian hari disimpan sebagai bukti sekiranya anda tidak berpuas hati.
*Faktor membeli emas sebagai hadiah
-Mengenal pasti cita rasa penerima hadiah kerana pemberian hadiah ini akan menjadi sangat bermakna untuknya.
-Reka bentuk barangan kemas mestilah sesuai dengan personaliti penerima.
-Memilih barangan yang boleh disimpan selamanya dan akan menjadi kenangan abadi. Seperti loket yang mempunyai reka bentuk tersendiri.
-Mengikut bajet dan mampu dimiliki.
-Membeli barangan kemas dari kedai emas yang bertauliah dan resit pembelian dikemukakan.