Harga emas mampu cecah AS$1,100 seauns

Galak Pajak Gadai Islam
Galak Pajak Gadai Islam
March 23, 2018
TERENGGANU BANYAKKAN KHIDMAT GADAIAN TANPA RIBA
March 23, 2018
Show all

Harga emas mampu cecah AS$1,100 seauns

Berita Harian

HARGA emas diunjurkan mampu mencecah sehingga AS$1,100 seauns tahun ini di tengah-tengah keadaan ekonomi global yang tidak menentu.

Pengerusi Eksekutif Poh Kong Holdings Bhd, Datuk Choon Yee Siong, berkata ketidaktentuan ekonomi global berkemungkinan berterusan dan emas dijangka menjadi aset bagi pelabur yang mahu melindungi nilai modal mereka.

“Kebiasaannya emas adalah pelaburan yang menarik bagi mereka yang mencari tempat selamat untuk melabur wang mereka atau sebagai pelindung nilai terhadap sebarang krisis ekonomi, politik, sosial atau berasaskan mata wang,” katanya ketika ditanya prospek harga emas selepas mesyuarat agung Poh Kong, di Petaling Jaya, Selangor, semalam.

Choon yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Poh Kong berkata, pergolakan yang berlaku di beberapa bahagian di dunia seperti serangan Israel ke atas Palestin dan peperangan di Iraq juga akan menjadi antara faktor yang akan menyumbang kepada peningkatan harga komoditi berharga itu.

“Dari segi sejarah, emas meningkat sejajar dengan pergolakan di seluruh dunia. Harga yang tinggi akan memberikan berita positif kepada keuntungan dan margin kami,” katanya.

Mengenai sama ada harga emas yang tinggi akan melembapkan permintaannya, beliau berkata: “Mengikut rekod kami, kami masih melihat pertumbuhan dalam jualan emas walau pun apabila harga meningkat sedikit tahun lalu.”