Tiga suspek kes samun kedai emas di The Mall ditahan
|
|
04/03/2009 5:04pm
UTUSAN
KUALA LUMPUR 4 Mac. - Polis percaya berjaya menyelesaikan satu kes samun kedai emas membabitkan
kerugian RM400,000 di pusat membeli-belah The Mall akhir bulan lalu, selepas menahan empat lelaki
dalam tiga tangkapan di ibu negara sejak dua hari lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata seorang daripada mereka dibebaskan
kemudiannya selepas siasatan mendapati dia tidak terlibat.
“Kesemua mereka yang berumur antara 42 dan 50 tahun itu ditahan di rumah masing-masing iaitu di
Jalan Sentosa, Jalan Putra dan Taman Cheras Utama, dalam tangkapan yang bermula sejak pukul 8 pagi
Isnin lepas sehingga pukul 7 pagi semalam,” katanya pada satu persidangan akhbar di sini hari
ini.
Sabtu berkata ekoran tangkapan itu polis berjaya merampas lima bentuk cincin dan lapan jam tangan
mewah yang dipercayai hasil samun kedai emas terbabit, beserta wang tunai RM15,000.
“Polis juga merampas revolver Smith & Wesson .38 serta 9 mm, 12 butir peluru hidup jenis .38
dan 9mm yang digunakan dalam kejadian itu. Sebuah kereta Viva dan dua telefon bimbit turut
dirampas,” katanya.
|
|
Back to top |
Print this
page | Bookmark this page
|