Sayangemas

Simpan emas lebih untung
Etika Emas tawar skim simpanan emas yang menjanjikan pulangan tunai setiap bulan

  

Siti Nur Almizan Aripin ( NSTP)

MEMBELI emas untuk penyimpanan kedengaran sedikit janggal kerana ramai beranggapan logam kuning keemasan itu lebih terserlah kemewahan dan ketinggian mutunya apabila dipamerkan sebagai perhiasan diri.

Bagaimanapun, kemelut ekonomi yang melanda dunia menyebabkan ramai mula sedar mengenai kepentingan membeli emas untuk dijadikan aset pelaburan.

Pemangkin terhadap minat serta trend yang semakin berkembang itu adalah fungsi komoditi itu sebagai penyimpan nilai kalis inflasi dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan ekonomi global yang sedang melanda ekonomi dunia ketika ini.

Mengapa melabur emas? Jawapannya sangat mudah. Melabur emas bukan sekadar mendapatkan keuntungan ke atas modal tapi juga melindungi nilai aset daripada inflasi dan deflasi.

Presiden Etika Emas Estet Berhad, Mohd Amin Supian, berkata emas adalah logam berharga yang sentiasa disebut di dalam Tamadun Islam dan peradaban dunia.

Perkataan emas atau 'gold' berasal daripada perkataan Indo-Eropah iaitu kuning yang merujuk kepada logam yang menonjol sifatnya.

"Seistimewa rupa dan nilainya, emas juga bersifat kekal. Selain melambangkan ketulenan, bernilai tinggi, kedaulatan dan simbol status, emas juga menjadi lambang kemewahan kepada individu atau sesebuah negara yang memilikinya," katanya.

Pada 2003, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed pernah melihat kebaikan dinar emas sebagai mata wang seragam dan tetap nilai seperti diperkenalkan ketika zaman Rasulullah SAW.

"Sayangnya ketika itu idea Tun Dr Mahathir agak sukar untuk diterima, dipandang remeh serta dilihat sebagai saingan dan seakan hendak meniru euro dolar Eropah," katanya.


MOHD AMIN menunjukkan jonkong emas pelbagai saiz yang dijual untuk skim pelaburan di Etika Emas.
Bertitik tolak daripada kesedaran mengenai kepentingan menyimpan emas, Mohd Amin dan kumpulannya mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti membeli dan menjual emas fizikal 24 karat dengan kualiti 999.9 atau 99.9% tulen.

Sebagai jaminan, setiap pelanggan yang membeli dan menyimpan emas di Etika Emas ditawarkan emas fizikal iaitu emas sebenar yang boleh dilihat, dipegang dan disimpan sebelum dicagarkan di skim Ar-Rahnu ditawarkan Bank Rakyat.

Selain itu, Etika Emas yang ditubuhkan dua tahun lalu itu juga turut menawarkan khidmat perundingan kepada pelanggan mengenai cara mengurus aset emas dengan bijak selain koperasi bagi menguruskan sendiri skim pajak gadai emas berlandaskan Syariah atau Ar-Rahnu dengan kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Kata Mohd Amin, selepas mengetahui kehebatan penyimpanan emas, dia melakukan banyak penyelidikan dan pembacaan malah turut berkongsi pengetahuan mengenai penyimpanan emas daripada rakan-rakan yang sudah lama membeli dan menyimpan emas fizikal sebagai pelaburan.

"Perbezaan antara menyimpan emas fizikal dan emas yang sudah siap diproses (barang kemas, syiling emas) adalah dari sudut keuntungan kerana pembelian jongkong emas membolehkan kita mendapat keuntungan bersih.

"Emas yang dibeli dalam bentuk barangan kemas atau syiling emas dijual pada kadar 40 peratus tinggi daripada jongkong emas iaitu membabitkan kos buruh. Justeru, jika anda berminat untuk menyimpan emas, jongkong emas lebih digalakkan kerana untung bersih yang dimiliki jika ia dijual lebih tinggi," katanya.

Seperti dikatakan Mohd Amin, menyimpan jongkong emas sebagai aset pelaburan juga menggunakan kaedah yang sama seperti jual beli saham dan jual beli mata wang (tidak dibenarkan Bank Negara Malaysia).

Katanya, pemilik emas mempunyai pilihan sama ada menyimpan sendiri emas milik mereka atau menyimpannya di peti simpanan bank. Jika mereka inginkan wang di saat memerlukan, simpanan emas fizikal berkenaan boleh dijual tapi nilainya akan susut antara 15 hingga 30 peratus daripada harga pasaran.

"Sebagai alternatif, mereka boleh mendapatkan pinjaman atau modal pusingan pada kadar 50 hingga 65 peratus dengan mencagarkan emas yang dimiliki di pajak gadai konvensional atau pajak gadai Islam, Ar-Rahnu.

"Emas yang dicagar boleh ditebus atau diambil kembali dengan menunjukkan surat pajakan, kad pengenalan, membayar jumlah prinsipal pinjaman dan upah simpan (Ar-Rahnu) atau faedah (pajak gadai konvensional)," katanya.

Bagaimanapun, bagi melunaskan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai seorang Muslim, Mohd Amin menyimpan impian menjadikan penubuhan Etika Emas sebagai sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada orang ramai dan umat Islam khususnya.

"Koperasi Etika Emas ditubuhkan bagi membantu orang ramai mendapatkan manfaat daripada program simpanan dan pembelian emas yang dijalankan, seterusnya kita ingin melihat pajak gadai Islam Ar-Rahnu dibuka di seluruh negara.

"Etika Emas juga ingin melihat pemilikan emas di kalangan golongan muda kerana kami sedar pemilikan emas walaupun di dalam jumlah yang sedikit sebenarnya dapat membantu perkembangan tamadun dan ummah melalui kadar zakat 2.5 peratus setahun yang dikenakan," katanya.

Katanya, nilai emas yang tidak menyusut menyebabkan simpanan jongkong emas mendatangkan keuntungan terutama ketika gelora ekonomi melanda dan Mohd Amin juga menyarankan orang ramai supaya membuat simpanan emas fizikal sebagai jaminan masa depan.

"Nilai emas tidak menyusut tapi jika anda perhatikan nilai mata wang mudah mengalami kejatuhan. Tidak keterlaluan dikatakan, di saat negara bergolak mata wang tidak menjanjikan jaminan kesenangan atau pengaruh.

"Jadikan sayap juruterbang yang diperbuat daripada emas sebagai contoh, jika mereka terhempas dan masih selamat, pin emas itu akan menjadi penyelamat kerana nilai emas dijamin nilainya walau di kalangan Orang Asli," katanya.

Selepas dua tahun ditubuhkan, Etika Emas kini berbangga kerana mempunyai 2,600 pelanggan yang membeli dan menyimpan emas fizikal melalui program ditawarkan dan 600,000 keping dinar emas terjual dengan jumlah simpanan emas fizikal sebanyak 1.6 tan.

"Tahun ini kami mensasarkan lebih ramai penyimpan emas termasuk perseorangan daripada luar negara dengan pertambahan simpanan emas lebih daripada 45 tan. Tapi kami akan pastikan simpanan emas dibuat di dalam negara bertujuan untuk meningkatkan simpanan emas di dalam negara," katanya.

Berbeza antara pembelian emas dari Etika Emas dan kedai emas biasa adalah setiap hadiah (pengurangan harga) diberikan di dalam bentuk tunai setiap bulan iaitu pada kadar 30 peratus daripada 100 gram emas yang dibeli selama enam bulan.
"Selain program pembelian satu jongkong emas, kami juga menawarkan program dua iaitu beli satu dan dipinjamkan satu jongkong daripada Etika Emas ke dalam akaun simpanan untuk menggalakkan mereka membuat tambahan simpanan emas apabila tempoh gadaian pertama tamat.
"Tapi jika harga emas dunia meningkat, mereka boleh membuat pilihan sama ada hendak menjual atau terus menyimpan jongkong emas yang dimiliki bergantung kepada keperluan," katanya.

Info
Jongkong emas dijual Etika Emas adalah di dalam kiraan berat 20 kg, 50 kg, 100 kg, 500 kg, 1 kg dan paling berat adalah 12.5 kg.

Nilai berat setiap jongkong berkenaan dibuat berdasarkan harga pasaran antarabangsa dan boleh di rujuk melalui laman web www.kitco.com atau www.wgc.com.

Pasaran London menawarkan penjualan segera dan penjualan akan datang untuk emas. Ia ditetapkan oleh Geng Lima yang mewakili pengedar emas serta bank terpengaruh dunia. Geng Lima terdiri daripada ketuanya, N M Rothschild, Societte General, Hongkong Shanghai Bank (HSBC), Scotia Mocatta dan Deutsche Bank.

Nilai jual Kijang emas yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (31 Disember 2008) adalah RM3,200 untuk berat 31.10 g (1oz), RM1,630 (15.55 g) dan RM830 (7.775 g). Pelaburan emas terbahagi kepada empat iaitu pelaburan barang kemas, syiling emas, jongkong emas dan dinar emas.

Fakta
Ahli kimia tidak pernah berjaya menghasilkan emas tiruan kerana sifat logam berkenaan sukar ditiru.

Sifat emas tulen adalah lembut paling boleh ditempa dan dibentuk.

Emas asli boleh disahkan tulen melalui dua cara mudah iaitu apabila digigit, ia meninggalkan kesan lekuk gigi, kedua apabila dibakar atau dicairkan, ia tidak berubah warna.

 

   Back to top     |      Print this page   |     Bookmark this page

   Navigation

   Harga Emas

Harga Emas Malaysia

[Most Recent Quotes from www.kitco.com]