|
Berita Harian
Ahmad Fiesal
Othman
POH Kong Holdings Bhd, gedung rantaian runcit
barang kemas terbesar di Malaysia, merancang
membuka tiga lagi cawangan baru tahun ini
membabitkan pelaburan RM10 juta.
Pengerusi Eksekutif yang juga Pengarah Urusan
Kumpulannya, Datuk Choon Yee Siong, berkata
pembukaan cawangan baru itu adalah sebahagian
strategi syarikat untuk meningkatkan jualan
dalam suasana ekonomi yang lembap dan penuh
mencabar sekarang.
Katanya, berdasarkan pengalaman, pembukaan
cawangan baru serta pertumbuhan cawangan sedia
ada mampu menyumbang hasil yang lebih tinggi
kepada syarikat.
Beliau berkata, pembukaan setiap cawangan baru
dijangka membabitkan kos antara RM2 juta hingga
RM3 juta, bergantung kepada lokasi.
“Cawangan pertama yang akan dibuka tahun ini
adalah di Kuantan, Pahang yang dijadual dibuka
Februari ini, manakala dua lagi belum
dipastikan lokasinya,” katanya kepada pemberita
selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di
Petaling Jaya, Selangor semalam.
Poh Kong kini mempunyai 97 cawangan di seluruh
negara dan adalah peneraju dalam pengilangan
serta peruncitan barang kemas emas dan barang
kemas tulen.
Ia memiliki portfolio kedai jenama khusus dan
kedai konsep runcit seperti barang kemas emas
Tranz, Disney Collection, Diamond Boutique,
Diamond & Gold Boutique, Jade Gallery,
kedai kemegahan Schoeffel dan Poh Kong Gallery,
ruang pameran mewah di ibu pejabatnya di
Petaling Jaya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2008, Poh
Kong mencatat keuntungan sebelum cukai RM40
juta, kenaikan 58 peratus atau RM14.6 juta
daripada RM25.4 juta tahun sebelumnya, manakala
pendapatan naik 23 peratus kepada RM509.3 juta
daripada RM414.2 juta.
Choon menambah, peningkatan keuntungan sebelum
cukai itu disumbangkan, terutama daripada
peningkatan jualan dan margin keuntungan
susulan lonjakan harga emas.
Katanya, ketika ini jenama Poh Kong kekal
sebagai penyumbang utama kepada pendapatan
kumpulan dengan sumbangan kira-kira 80 peratus
tetapi portfolio kedai jenama khusus lain juga
sedang ditingkatkan menerusi pengenalan produk
baru yang mengkhusus dengan jenama dan produk
tertentu.
“Kami juga meningkatkan jualan intan berlian
dan batu permata melalui rangkaian jenama
khusus serta kedai konsep runcit bagi
mengurangkan pergantungan kepada emas kuning
tradisional,” katanya sambil menambah syarikat
juga sedang merangka strategi untuk melancarkan
lebih banyak produk mampu milik bagi menarik
lebih ramai pelanggan.
|