Sayangemas

Pengurus Kedai Emas mati ditembak perompak

  
18 Mac 2009
Utusan Malaysia


BUKIT MERTAJAM 18 Mac - Seorang pengurus pasar raya maut manakala dua lagi cedera apabila sekumpulan penjenayah bersenjatakan pistol dan tukul besi merompak sebuah kedai emas dalam pasaraya Tesco Extra di Seberang Jaya di sini hari ini.

S. Sathiasillan, 28, yang terkena tembakan pada dagu dan dada meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua yang cedera ialah pengurus peruncitan pasar raya tersebut, N. Ilangohvan, 26, dan pengawal keselamatan kedai emas berkenaan, Izat Hafiz Mohd. Saad, 27.

Rompakan nekad berlaku kira-kira pukul 10.12 pagi ketika lima pekerja kedai emas Poh Kong yang terletak di tingkat bawah pasar raya besar itu sedang melakukan persediaan untuk membuka premis tersebut.

Difahamkan, Sathiasillan dan Ilangohvan ditembak selepas cuba berdepan dengan kumpulan penjenayah berkenaan yang berjaya melarikan 20 dulang barang kemas bernilai lebih RM250,000.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, dua daripada suspek memakai topeng ski memecahkan pintu kaca kedai emas tersebut yang baru hendak dibuka dan terdapat lima pekerja sedang berada dalam premis tersebut.

''Suspek kemudiannya memecahkan peti-peti pameran sebelum dua lagi suspek yang juga memakai topeng datang dan bersama-sama mengambil barang kemas.

''Rompakan tersebut berlaku hanya kira-kira empat minit dan kita percaya rompakan ini dilakukan lebih daripada empat (orang),'' katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian, selaras pump gun milik Izat Hafiz dilarikan oleh suspek.

Ayub berkata, Sathiasillan dan Ilangohvan ditembak ketika penjenayah terbabit sedang melarikan diri keluar dari pasar raya tersebut.

''Polis turut menemui empat kelongsong peluru berhampiran tempat kejadian,'' katanya.

Katanya, saksi kejadian memberitahu, kesemua suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta Honda City dan sebuah motosikal.

''Polis sedang meneliti paparan kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam pasar raya berkenaan,'' tambahnya.

Selain itu katanya, polis akan melancarkan Ops Tutup bagi memburu penjenayah terbabit dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis bagi membantu siasatan

 

   Back to top     |      Print this page   |     Bookmark this page

   Navigation

   Harga Emas

Harga Emas Malaysia

[Most Recent Quotes from www.kitco.com]