|
08-Feb-2004
HARIAN METRO
KUALA LUMPUR: Kurang pengetahuan mengenai sistem pajak gadai menyebabkan ramai anggota masyarakat
khususnya mereka yang terdesak memerlukan wang, tertipu dan kerugian beratus-ratus ringgit.
Walaupun populariti kedai pajak gadai sebagai 'bank' untuk mendapatkan wang segera pernah
dimonopoli ceti haram atau along, tetapi ia mampu bertahan dan fungsinya terus diperlukan hingga
kini.
Malah, tidak keterlaluan jika ada yang menyifatkan kedai pajak gadai sebagai penyelamat sementara.
Mana tidaknya, mereka sentiasa bersedia menghulur 'bantuan' asal ada barang kemas boleh dijadikan
sandaran tatkala saudara mara dan sahabat tidak sanggup menolong.
Walaupun skim pajak gadai Islam, Ar-Rahnu diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu di beberapa bank
terkemuka tanah air, tetapi masih ramai memilih mendapatkan khidmat kedai pajak gadai atas alasan
ia lebih mudah dan cepat.
Skim Ar Rahnu membolehkan umat Islam mengelakkan diri daripada ditipu atau terbabit dalam urusan
pajak gadai berunsur riba. Sebelum ini umat Islam tidak mempunyai pilihan kerana sistem pajak gadai
konvensional rata-rata dimonopoli pengusaha bukan muslim.
Namun yang tidak sedapnya, ada sesetengah kedai pajak- gadai konvensional cuba mengaut keuntungan
ketika orang lain kesempitan wang dengan melakukan pelbagai penipuan, termasuk mengenakan kadar
faedah melebihi had ditetapkan, menawarkan nilai gadaian rendah, nilai emas merosot dan
mengeluarkan surat perjanjian pajak yang mengelirukan.
Pun begitu, menurut peraih emas, Rosnah Majid, 32, yang terbabit dalam perniagaan pajak gadai sejak
empat tahun lalu, bukan semua pemegang lesen perniagaan jual beli emas cuba menangguk di air
keruh.
Ramai menjalankan perniagaan jual beli emas berlandaskan prosedur sama skim Ar- Rahnu, seperti
diamalkan beberapa bank terkemuka tanah air yang beroperasi berasaskan hukuman Syariah.
Melalui sistem ini, nasib pemajak yang rata-rata membabitkan golongan berpendapatan rendah akan
terbela dan mengelakkan mereka tertipu dengan pelbagai taktik pengusaha kedai pajak.
Prosedur dan pengiraan nilai barang kemas digunakan Rosnah sama seperti diamalkan kebanyakan bank
yang memperkenalkan sistem Ar- Rahnu. "Bezanya, saya menawarkan perkhidmatan membeli surat pajak
dan emas daripada pelanggan bagi membolehkan mereka menebus balik barang kemas, sama ada di bank
atau di kedai pajak.
"Saya tidak mengeluarkan surat pajak, tetapi membantu pengguna mendapatkan balik barang kemas
mereka dan membelinya mengikut harga pasaran emas terpakai.
"Nilai pajakan sebenarnya tidak melebihi 60 peratus daripada harga belian kerana harga emas
terpakai umumnya lebih rendah. Orang ramai juga mudah ditipu kerana setakat ini tiada peraturan
mensyaratkan semua peniaga pajak gadai mempamerkan harga pasaran emas terpakai. Ini menyebabkan ada
sesetengah pengusaha menawarkan harga yang terlalu rendah, terutama kepada orang kampung.
"Sebenarnya ramai tidak sedar mereka menjadi mangsa penipuan segelintir pengusaha kedai pajak
konvensional apabila mahu menjual barang kemas terpakai kerana mereka biasanya tidak menerima
bayaran yang sepatutnya mengikut nilai semasa harga emas terpakai," katanya.
Prosedur perniagaannya juga mudah beliau memberi wang modal kepada pemajak untuk menebus balik
barang kemas mengikut nilai pajakan, termasuk kadar faedah iaitu dua peratus sebulan. Kadar faedah
gadaian barang kemas adalah standard dan.diguna pakai semua bank yang menawarkan skim Ar-
Rahnu.
Barang kemas yang ditebus akan ditimbang di hadapan pelanggan dan dinilai semula mengikut harga
pasaran barang kemas terpakai, iaitu antara RM30 hingga RM35 segram. Nilai baru ini akan ditolak
dengan bayaran modaldan bakinya akan diserahkan kepada pelanggan.
Perkhidmatan peraih sepertinya bukan sekadar mencari untung, tetapi turut melindungi kepentingan
pemajak yang rata-rata membabitkan orang Melayu kerana mereka akan mengalami kerugian jika gagal
menebus balik barang yang dicagarkan dan keuntungan itu akan berpindah sepenuhnya ke poket pemilik
kedai.
Bahkan peraih atau pajak gadai jalanan ini, juga ada kelebihannya kerana mereka menerima semua
jenis emas yang hendak dipajak. Kelebihan inilah juga yang menjadikan pelanggan lebih suka
berurusan dengan peraih berbanding skim pajak gadai bank, walaupun mereka menawarkan sistem yang
lebih terjamin.
|