|
23/01/2008
http://www.utusan.com.my
BERBICARA mengenai barang kemas, kaum wanita merupakan golongan yang paling gemar membelinya
walaupun harga emas semakin meningkat. Tidak dinafikan barang kemas seolah-olah telah menjadi
menjadi keperluan kepada kaum Hawa dan juga secara tidak langsung melambangkan kemewahan dan status
seseorang.
Bukan setakat masyarakat Melayu yang menggemari barang kemas emas malah ia menjadi hadiah utama
pada majlis perkahwinan kaum Cina dan India.
Walaupun pada masa kini ‘kegilaan’ wanita telah beralih pada barangan perhiasan diri seperti
kristal dan batu-batu permata, namun masih ramai yang mempercayai keistimewaan emas pada
pemakainya.
Menurut Pengurus Operasi Runcit Habib Jewels Sdn. Bhd., Mohd. Zaruddin Mahmud, kenaikan harga emas
yang mencecah RM101 bagi satu gram (harga Sabtu lepas) tidak menjejaskan jualan malah jumlah
pelanggan yang datang sama seperti semasa harga emas masih murah.
Katanya lagi, harga emas kini merupakan harga yang paling tinggi bagi tempoh 20 tahun dan ia
dijangka naik lagi.
‘‘Harga emas akan sentiasa naik walaupun ada ketikanya ia akan turun sedikit tetapi selepas itu
akan naik tinggi lagi lebih-lebih lagi menjelang Tahun Baru Cina kerana ramai orang membeli emas,’’
kata Mohd. Zaruddin.
Beliau menambah, kenaikan harga emas berlaku kerana bekalan yang tidak mencukupi, permintaan
berlebihan dan juga ketidaktentuan pasaran.
“Ramai yang berasa lebih selamat melabur dalam emas berbanding kewangan kerana harga emas yang
sentiasa naik.
‘‘Emas merupakan sejenis logam yang amat sesuai untuk pelaburan dan bagi yang mempunyai wang
khususnya wanita adalah lebih baik jika membeli emas pada masa ini dan jangan risau harganya akan
turun.
‘‘Sebenarnya kegemaran wanita membeli emas apabila mempunyai wang seperti selepas mendapat bonus,
dividen saham dan sebagainya bukan sahaja menguntungkan mereka malah keluarga juga.
‘‘Itu merupakan kelebihan wanita kerana selain membeli emas sebagai perhiasan diri, pada masa sama
mereka turut membuat pelaburan dan dapat digunakan semasa susah seperti ketika anak bersekolah atau
melanjutkan pelajaran ke universiti,’’ jelas Mohd. Zaruddin lagi.
Beliau menambah, orang Melayu merupakan golongan yang banyak membeli emas untuk dipakai sendiri,
sementara kaum Cina lebih suka membeli dalam bentuk jongkong emas untuk pelaburan.
‘‘Orang Melayu sudah mula memahami dan menyedari mengenai kelebihan dalam pelaburan emas sejak dua
atau tiga tahun lepas. Bagi yang hendak membeli dalam bentuk jongkong emas, beli daripada jauhari
yang bertauliah bagi mengelakkan daripada ditipu.
‘‘Terdapat jongkong emas dengan berat 10 gram, 50 gram, 100 gram dan 500 gram. Jongkong yang
terlalu tebal mungkin mengandungi kurang kandungan emas 916.
‘‘Jongkong emas yang popular adalah emas 916 dan 999 dan cuma harga emas sahaja yang dikira tanpa
upah. Keuntungan boleh dilihat apabila jongkong dijual ketika harga emas naik,’’ katanya.
Wanita jelasnya, harus mempunyai pengetahuan untuk mengambil peluang pada harga emas kini bagi
membeli emas kerana belian emas yang dibuat pada tahun ini adalah menguntungkan.
‘‘Begitu juga dengan lelaki Melayu, jika dua, tiga tahun dulu mereka suka berbelanja mewah dengan
membeli kereta besar, menambah aksesori kereta atau membeli set barangan elektrik yang mahal tetapi
kini sudah mula pandai membeli emas,’’ ujarnya.
Beliau berkata, pembelian emas yang dilakukan dalam negeri dapat membantu pembangunan kerana aliran
wang berlaku dalam negara kita sahaja.
Menurutnya, di Habib bukan sahaja menjual emas tetapi membeli semula emas lama untuk
dileburkan.
Rakyat Malaysia mempunyai banyak emas yang tersimpan dan sebenarnya tidak perlu kita membeli emas
dari negara luar seperti Eropah, Afrika Selatan, Indonesia dan sebagainya.
‘‘Habib membeli emas lama pada harga yang lebih tinggi daripada pajak gadai selain trade-in yang
cuma ditolak 15 peratus sahaja.
“Jadi mereka yang mempunyai emas lama dan tidak dipakai, janganlah disimpan sahaja. Jual pada yang
bertauliah dan emas lama itu akan dilebur dan direka semula dengan rekaan moden. Sekarang mungkin
tempoh terbaik kerana kadar harga emas yang tinggi,’’ kata Mohd. Zaruddin.
Sementara itu, menurut Mohd. Zaruddin, Habib akan mengadakan Pesta Emas pada 22 Februari hingga 2
Mac depan dan banyak koleksi terbaru 2008 akan dijual sempena menyambut ulang tahun Habib yang
ke-50.
‘‘Banyak koleksi terbaru khusus untuk remaja yang dibuat daripada emas kuning boleh dibeli kerana
Habib mahu menggalakkan remaja untuk membeli dan memakai emas kuning yang boleh dijadikan pelaburan
masa depan,” katanya.
|