|
10th Oct 2008
Kosmo
KUALA LUMPUR - Jika anda peminat barangan emas,
hati-hati kerana ada sindiket dianggota
beberapa lelaki Sabah dikesan ligat menjual
barang kemas palsu.
Tidak kira siang atau malam, ahli sindiket akan
mendekati mangsanya secara tergesa-gesa sambil
menunjukkan barang kemas celup tetapi dikatakan
tulen.
Bermodal pakaian kemas dan bermulut manis, ahli
sindiket mampu mendapat keuntungan sehingga
ribuan ringgit dengan barangan yang hanya
bermodal RM60. Kos RM60 itu pula hanya untuk
membeli cangkuk emas tertera 916 tulen.
Seorang mangsa Kartika, 20, berkata, dia
menjadi mangsa seorang lelaki Sabah ketika
berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa
bulan lalu.
Menurut beliau, lelaki yang tergesa-gesa itu
menunjukkan seutas gelang dengan mempunyai
cangkuk bertulis 916 dan ingin menjualnya
dengan harga RM1,000.
"Saya ingatkan ia emas tulen kerana ada angka
916.
"Selepas tawar-menawar, lelaki itu menjual
gelang itu dengan harga RM100 saja,'' katanya
ketika ditemui di sini semalam.
Menurut beliau, beberapa minggu memakai gelang
itu, ia mula pudar dan selepas diselidik gelang
tersebut merupakan gelang palsu.
Kejadian itu tidak berakhir di situ apabila
pada September lalu, seorang anggota polis
lelaki yang juga rakan Kartika cuba ditipu.
Zainal, 30-an, berkata, kejadian itu berlaku di
Jalan Raja Laut dan seorang lelaki menawarkan
seutas rantai leher ada tanda 916 pada
cangkuknya dengan harga RM400.
"Sebaik didekati, saya teringat nasib Kartika
dan terus merampas rantai tersebut selepas
memperkenalkan diri sebagai polis.
"Lelaki itu yang takut terus memanggil beberapa
rakannya untuk meminta semula rantai itu tetapi
selepas saya bertegas semua melarikan diri,''
kata beliau.
Kosmo! yang membandingkan rantai tersebut
dengan yang tulen mendapati warna rantai leher
yang dirampas itu sangat pudar tetapi
cangkuknya berkilat dan memang mempunyai angka
916.
Sementara itu, sumber polis dari Bahagian Unit
Rekod Perangkaan (D4) Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kuala Lumpur berkata, antara barang
kemas yang popular di kalangan sindiket iaitu
rantai, gelang dan jam tangan palsu menggunakan
jenama terkenal.
Menurut beliau, polis telah memantau pergerakan
sindiket tersebut tetapi pihaknya kekurangan
bukti untuk menahan suspek berikutan tidak
menerima sebarang laporan dari mana-mana mangsa
setakat ini.
|